Thursday, October 25, 2007

Laporan Kajian Pusat Pemindahan Banjir

PENGENALAN

Pada 1 September hingga 3 September yang lepas, satu program kerja lapangan telah diadakan di pekan Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Aktiviti ini dijalankan oleh pelajar-pelajar kursus Urbanisasi dan Pembangunan Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia. Objektif utama kerja lapangan ini diadakan adalah untuk mengkaji impak pasca banjir yang berlaku pada awal tahun 2007 kepada penduduk-penduduk yang terlibat. Para pelajar telah dibahagikan kepada 11 kumpulan dan memfokuskan kepada tajuk-tajuk tertentu. Kami, dari kumpulan We Are Concern ( WAC) telah memilih pusat pemindahan banjir sebagai skop kajian utama kami. Diharapkan fokus kajian kami ini akan memberikan alternatif dan cadangan kepada sebarang penambahbaikan atau pemulihan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam bencana banjir di masa akan datang.

Kami telah mengedarkan borang soal selidik kepada 30 orang responden di Kota Tinggi yang dipilih secara rawak bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan persepsi mereka terhadap keberkesanan dan kecekapan pusat pemindahan banjir di kawasan Kota Tinggi. Berdasarkan temu ramah yang dijalankan, kami telah membahagikan bentuk soalan kepada lapan persoalan yang merujuk kepada persepsi penduduk terhadap pusat pemindahan banjir yang telah didiami oleh mereka semasa kejadian bencana alam tersebut yang berlaku pada awal tahun ini. Ia dibahagikan kepada aspek tahap keselesaan, tahap keselamatan, kecekapan petugas di pusat pemindahan, keperluan asas dari segi tempat tidur dan tandas, bekalan makanan serta bekalan air bersih yang mencukupi. Di akhir soalan borang soal selidik kami, kami cuba mendapatkan pandangan responden terhadap keberkesanan sekolah untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir di masa akan datang.

Berikut adalah dapatan kajian yang telah kami perolehi:

Setelah analisis dijalankan terhadap kesemua soalan temu ramah yang telah diedarkan, terdapat persepsi yang tidak konsisten oleh responden antara keberkesanan sekolah sebagai pusat pemindahan dengan aspek-aspek yang lebih spesifik dan asas tentang pusat pemindahan. Daripada 30 orang, responden yang menjawab kajian, seramai 21 orang mengakui keberkesanan sekolah sebagai pusat pemindahan, 7 orang tidak bersetuju dengan pasti pernyataan tersebut manakala 2 orang lagi tidak pasti terhadap adakah sekolah berkesan untuk dijadikan pusat pemindahan. Dapatan kajian yang berbeza-beza ini adalah disebabkan semasa kejadian banjir, tidak kesemua responden telah menginap di sekolah sebagai pusat pemindahan. Ini kerana terdapat responden yang menghuni di rumah saudara-mara atau dewan orang ramai. Manakala dari aspek keselesaan, terdapat 19 orang bersetuju dengan pernyataan tersebut manakala 11 orang lagi pula tidak bersetuju dengannya. Sementara itu, 25 orang responden berpuas hati dengan tahap keselamatan di pusat pemindahan, 4 orang tidak berpuas hati manakala hanya seorang sahaja yang tidak pasti dengan kepuasan terhadap aspek keselamatan tersebut. Dari aspek kecekapan petugas, cuma terdapat 2 orang responden sahaja yang tidak berpuas hati manakala bakinya mengakui kecekapan petugas menjalankan tugas semasa kejadian tersebut berlaku. Dari aspek bekalan makanan dan air bersih, rata-rata berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan walaupun terdapat cadangan yang mengesyorkan agar disediakan tandas bergerak dan mudah alih yang boleh disediakan pihak tentera kerana jumlah tandas yang sedikit di kebanyakan pusat pemindahan menyukarkan mereka.

Secara keseluruhannya, para responden tidak dapat mencadangkan sebarang alternatif lain untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan. Bagaimanapun, terdapat pandangan agar lokasi sebarang pusat pemindahan dipindahkan ke Kg. Maamor kerana kedudukan geografi kampung tersebut yang lebih tinggi dari kawasan sungai berbanding Kg. Tembioh, Kg. Kelantan atau pekan Kota Tinggi yang kesemuanya agak rendah dan berisiko tinggi untuk ditenggelami air. Kesimpulannya, dapatan kajian yang dibuat melihat bahawa walaupun sekolah tidak berkesan secara sepenuhnya sebagai pusat pemindahan, tetapi ia adalah satu-satunya pilihan terbaik untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan kerana lokasi yang ada di kebanyakan kampung serta struktur fizikal sekolah yang bertingkat membolehkan tingkat di bahagian atas dijadikan sebagai pusat penginapan.


Dewan sebagai Pusat Petempatan Sementara

Kawasan tumpuan kajian yang dijalankan iaitu kampung Kelantan menunjukkan bahawa hampir keseluruhan penduduk tinggal di dewan-dewan sebagai petempatan sementara semasa berlaku banjir. Kebanyakan penduduk tinggal di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, Dewan Raya Taman Kota Jaya, malah ada juga penduduk yang tinggal di Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi. Kawasan ini dikelaskan sebagai Zon A iaitu mukim bandar.

Seperti diketahui umum, dewan dijadikan tempat petempatan sementara kerana keupayaannya yang dapat menampung sebilangan besar penduduk sesuatu kawasan malah meliputi beberapa kawasan. Dewan Jubli Intan Kota Tinggi misalnya, meliputi kawasan-kawasan seperti kawasan bandar, Kampung Tembioh, Kampung Kelantan, Kampung Panti, Taman Kuso, Taman Kemang, dan Jalan Omar. Dewan Raya Taman Kota Jaya misalnya meliputi kawasan Taman Kota Jaya, manakala Sek. Men. Agama (Arab) meliputi kawasan bandar. Dua buah pusat yang lain pula seperti Sek. Men. Keb. Laksamana dan Sek. Men. Keb. Tun Habab tidak akan digunakan sebagai pusat pemindahan banjir sekiranya banjir berlaku semasa peperiksaan SPM/STPM.

Mengikut data-data yang kami ambil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kota Tinggi, terdapat 16 buah pusat petempatan banjir di kawasan Zon A iaitu Mukim Bandar meliputi sekolah-sekolah dan juga dewan-dewan. Had muatan penduduk adalah berbeza-beza iaitu dari 50 orang hinggalah kepada 850 penduduk. Antara jabatan atau pertubuhan sukarela yang terlibat membantu menyelenggara pusat ialah Setiausaha MDKT, pengetua, guru besar dan ketua kampung. Antara dewan yang mempunyai kapasiti yang besar ialah Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, Dewan Raya Taman Kota Jaya dan Dewan Serbaguna Kota Kecil, iaitu seramai 850 orang dalam satu dewan dan tidak hairanlah apabila boleh dikatakan hampir keseluruhan penduduk kampung Kelantan tinggal di dewan ini semasa banjir melanda. Pusat lain seperti Sek. Men. Teknik Kota Tinggi, dan Sek. Men. Agama (Arab) pula mencatatkan had muatan seramai 500 orang. Dua daripadanya memuatkan 400 orang iaitu Sek. Men. Tun Habab dan Sek. Men. Keb. Laksamana. Selebihnya ialah 3 buah daripadanya dapat memuatkan seramai 300 orang iaitu Sek. Keb. Laksamana, Dewan Raya Kampung Makam dan Sek. Ren. Agama Bersepadu. Manakala pusat yang memuatkan bilangan kecil 50 hingga 200 orang ialah Sek. Jen. Keb. Cina New Kota, Sek. Jen. Keb. Tamil Jalan Tajul, Sek. Keb. Bukit Lintang, Balai Raya Kampung Lukut Kota Tinggi, dan Dewan Teratai Batu 4.

Apabila terdapat amaran mengenai hujan dan angin kencang, antara langkah terawal yang dilakukan oleh agensi yang terlibat ialah menyediakan pusat-pusat pemindahan ini untuk digunakan serta dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada mangsa banjir. Dewan-dewan ini diurus oleh petugas yang terlibat samada dari segi keperluan dan masalah yang berkaitan. Penduduk didaftarkan terlebih dahulu sebelum diletakkan atau dimasukkan dalam sesuatu petempatan bagi memudahkan urusan dan mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini. Penduduk diletakkan mengikut keluarga dan mereka diberi tilam, bantal dan juga barangan keperluan yang lain.

Semasa menetap di dewan, penduduk dibekalkan dengan kelengkapan seperti tilam, bantal, dan tikar memandangkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan mereka. Kemudahan asas yang disediakan juga boleh dikatakan memuaskan. Tetapi masih terdapat kekurangannya kerana penduduk terutamanya wanita mengadu tidak berpuas hati dengan tandas. Dengan bilangan wanita yang lebih ramai daripada lelaki sudah pasti 2 tandas bagi satu-satu dewan tidak mencukupi. Walau bagaimanapun dari segi makanan, keselamatan, bekalan air bersih penduduk tidak menghadapi masalah.

Setiap hari penduduk dibekalkan dengan teh, kopi, gula, biskut, dan roti bagi setiap orang untuk sarapan pagi. Manakala bagi makanan tengahari dan malam penduduk diberi beras, lauk (sardin ,telur, ikan kering, daging, daging ayam, dan ikan basah), sayur dan rencah seperti minyak kelapa, kelapa parut, garam, kicap, lada kering, belacan, asam jawa, rempah, bawang merah, dan bawang putih. Malah pada awal-awalnya penduduk diberi bantuan makanan segera iaitu nasi bungkus untuk seorang berharga tidak lebih dari pada RM5.00. Boleh dikatakan keperluan penduduk yang tinggal di pusat petempatan sementara ini ditanggung dan diberikan secukupnya.

Keberkesanan dewan dijadikan sebagai tempat pemindahan banjir dapat ditonjolkan apabila rata-rata penduduk berpuas hati dengan fungsi, layanan dan perkhidmatan yang diberikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Berikut adalah beberapa carta yang menunjukkan hasil kajian:

Proposal Kajian Pusat Pemindahan Banjir di Kota Tinggi

Tajuk Penyelidikan: Melihat persepsi penduduk terhadap fungsi pusat pemindahan banjir.


Tujuan Kajian

Kajian ini dilakukan adalah untukmengkaji dan mengenal pasti fungsi pusat pemindahan banjir seperti di sekolah dan di dewan dengan melihat dari perspektif penduduk tempatan kawasan itu. Selain itu, tahap keselesaan mangsa banjir di pusat pemindahan serta kecekapan pengurusan pusat pemindahan banjir juga termasuk dalam kajian yang dilakukan. Seterusnya kajian dibuat untuk mengkaji kemudahan di pusat pemindahan sama ada benar-benar memenuhi keperluan.


Persoalan Kajian

Sekolah telah dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir sejak dari dulu lagi. Malah bukan sekolah saja yang dijadikan pusat pemindahan, dewan juga telah diambil kira kerana kepadatan penduduk di sesuatu kawasan. Penduduk yang berdepan dengan banjir di kawasan mereka terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara yang tidak selesa dan sukar untuk mendapat privasi bagi setiap keluarga. Oleh itu kami ingin melihat apakah aspek-aspek yang boleh diperbaiki di pusat penempatan sementara ini agar ia akan bertambah baik pada masa akan datang.


Isu-isu

Antara isu-isu yang terdapat dalam kajian ini ialah kemudahan dan keperluan asas yang tidak mencukupi di pusat pemindahan dan hak peribadi individu atau keluarga yang tidak diambil kira.


Skop Kajian

Kajian ini akan dijalankan dengan mengambil kira latar tempat kampung Kelantan di Kota Tinggi. Sebanyak 30 borang soal selidik digunakan dan diedarkan kepada penduduk kawasan tersebut yang ditempatkan di dewan sebagai pusat pemindahan sementara.

Data lain yang berkenaan dengan tajuk penyelidikan juga boleh didapatkan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi Johor.


Metodologi Kajian

Soal selidik
Temu bual
Data sekunder iaitu daripada Pejabat Daerah

Sunday, September 30, 2007

Kesan Pembangunan: Antara Cabaran dan Masalah

Pembangunan yang pesat telah menyebabkan banyak kawasan bandar berkembang untuk memenuhi kehendak kehidupan penduduk tempatan dan demi tercapainya matlamat negara sebagai sebuah negara perindustrian. Pembangunan yang disebutkan merangkumi pembangunan perumahan, perindustrian dan pembinaan infrastruktur. Bagaimanapun kesan daripada pembangunan tersebut merupakan antara faktor terbesar yang menyumbang kepada berlakunya banjir.

Berkurangnya kawasan serap air

Kawasan hutan dan tanah memang berperanan sebagai agen menyerap air hujan semulajadi. Apabila pembukaan tanah hutan berlaku kerana projek pembangunan, permukaan yang semulajadi itu telah bertukar kepada permukaan yang tidak serap air seperti simen, tar, konkrit dan sebagainya. Oleh sebab air hujan tidak dapat diserap, maka air akan mengambil masa yang singkat untuk masuk ke dalam sistem saliran. Air yang banyak itu akan memenuhi sistem saliran dan sistem saliran tidak dapat lagi menampung air yang begitu banyak menyebabkan ia mengalir keluar. Inilah sebabnya banjir kilat berlaku selepas sekejap hujan turun.

Ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya banjir. Ironinya, isu ini telah berulangkali disebut-sebut sehinggakan sudah lali mendengarnya. Apa yang berlaku ialah, pembangunan tetap dijalankan, projek tetap disiapkan, tanpa mengambil kira akibatnya. Tidak ada langkah-langkah yang dilakukan untuk mengelakkan kejadian buruk seperti banjir kilat daripada berlaku. Langkah-langkah mengatasi masalah ini HANYA dilakukan apabila telah berlaku banjir kilat beberapa kali dan mendapat aduan daripada orang ramai.

Cabaran kepada masalah ini ialah tindakan yang boleh diambil oleh pihak yang terlibat. Adakah pihak terlibat berupaya mengatasi masalah ini daripada berlaku samada melalui penguatkuasaan undang-undang kepada pemaju yang bertindak semberono dan tidak menyediakan sistem saliran yang baik semasa dan selepas pembangunan dijalankan.

Masalah yang dihadapi pula ialah berlakunya rasuah sehingga menyebabkan pembangunan dijalankan besar-besaran tanpa mengira faktor-faktor alam sekitar, kawasan geografinya, dan kesan-kesan pembangunan yang dijalankan sehingga menjejaskan kualiti alam sekitar.

Hal ini biasanya hanya akan menjadi satu dilema kepada masyarakat dan juga kerajaan kerana proses penguatkuasaan dan tindakan yang tidak telus dalam mengatasi masalah seperti ini. Pembangunan semata-mata tanpa mempedulikan kesan-kesan negatif akibat daripadanya tidak akan menjadikan sesebuah negara itu maju. Mungkin maju HANYA dari segi pembinaan struktur dan kemudahan prasarana, tetapi tidak maju dari segi mentaliti. Merujuk kepada kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi yang mengatakan bahawa rakyat kita mempunyai mentaliti dunia ketiga walaupun kemudahan adalah bertaraf dunia.

PEMBANGUNAN MESTILAH...

Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yang dirancang dan terkawal adalah merupakan satu strategi penting untuk mencapai matlamat DEB disamping memupuk perseimbangan ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa:

1. Pembangunan mestilah menghormati alam sekitar, baik alam sekitar semulajadi mahupun alam sekitar budaya, dan juga struktur-struktur tradisional yang sering diperlukan untuk memelihara perpaduan sosial sesebuah negara. Ini termasuklah melindungi warisan kebangsaan dan perlindungan daripada semua bentuk nilai-nilai yang dikenakan.

2. Pembangunan mestilah dirancang dan memerlukan perhatian yang berterusan dan campurtangan daripada pihak berkuasa negara. Penyelarasan kepentingan-kepentingan sektor swasta dengan matlamat-matlamat negara perlu dipastikan oleh mekanisme-mekanisme yang sesuai. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya pembangunan yang tidak bersekata dan membazirkan sumber serta memusnahkan alam.

3. Pembangunan mestilah ke arah pembentukan susunan sosial yang adil dan saksama. Dalam usaha mencapai matlamat ini, mestilah ada perubahan bentuk struktur yang membolehkan penyertaan semua golongan penduduk dalam menikmati faedah-faedah dari sains dan teknologi, dan bukan sahaja mengalami kesan-kesan negatif.

4. Pembangunan mestilah bersifat demokratik, iaitu mestilah mematuhi pilihan-pilihan yang dibuat oleh rakyat pada keseluruhannya.Matlamat-matlamat masyarakat bukanlah semata-mata kepada sains dan teknologi. Masalah ini melibatkan tidak kurang daripada kebebasan umat manusia untuk menentukan nasibnya.

5. Pembangunan mestilah bersifat pembaharuan. Ia tidak seharusnya bergantung kepada pembawaan masuk teknologi-teknologi yang telah lapuk dari negara maju mahupun teknologi-teknologi yang telah dimajukan dinegara-negara lain.

6. Pembangunan mestilah asli, yang bererti bahawa corak-corak pembangunan bukan sahaja patut bersesuaian dengan struktur ekonomi dan sosial, suasana sekeliling manusia dan alam, tetapi hendaklah juga menuruti matlamat-matlamat tiap-tiap negara dan cara ia mengamati masa depan sendiri.

Sunday, September 23, 2007

Kesan Pembangunan Bandar ke atas Alam Semulajadi

Alam semulajadi merupakan khazanah warisan negara. Antara tiga unsur alam semulajadi yang penting ialah hutan, air dan udara. Hutan berfungsi sebagai pembekal oksigen, kawasan tadahan, sumber makanan dan tempat perlindungan habitat flora dan fauna. Berdasarkan fungsi inilah warisan hutan perlu dikekalkan. Pembangunan bandar hanya melihat kepada pembangunan fizikal sebagai sumber ekonomi semata-mata.

Pembukaan bandar baru seperi Bandar Muadzam Shah dan bandar-bandar baru yang lain menyaksikan pembersihan hutan dan pemotongan bukit-bukit. Ini menyebabkan hakisan tanah semakin banyak kerana tidak dapat menampung air di permukaan bumi.

Selain itu, unsur kedua penting ialah air. Jika dilihat, air diperlukan oleh semua aktiviti bandar seperti industri, pertanian, perkilangan, perkhidmatan dan rekreasi. Pembangunan bandar turut meningkatkan permintaan bekalan air bersih dari semasa ke semasa. Lama kelamaan air ini akan berkurangan. Sumber air yang sedia ada di sungai-sungai atau tasik turut tercemar apabila hasil buangan sisa kilang, domestik dan pertanian yang tidak diolah dengan baik dibuang terus ke dalam sungai.

Kesan daripada pembangunan bandar yang tidak seimbang juga akan menyebabkan pencemaran udara dan peningkatan suhu. Udara segar yang dihasilkan melalui proses fotosintesis tumbuhan penting untuk pernafasan yang menjamin kelangsungan hidup. Tetapi akibat proses pembangunan, udara ini kini tercemar dengan bahan-bahan pencemaran seperti karbon monoksida, plumbun, dan nitrogen hidroksida. Ini terdapat dalam udara akibat aktiviti bandar seperti pengangkutan, asap dari industri, dan pelupusan sisa domestik.

Dengan ini jelaslah bahawa pembangunan bandar yang tidak seimbang dan terancang memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar yang begitu penting bagi manusia dan kehidupan lain.

Muzium Etnologi Dunia Melayu: Antara cabaran dan Harapan

Muzium Etnologi Dunia Melayu yang diwarwarkan akan dibina di Bangi, Selangor merupakan salah satu daripada Rancangan Malaysia Ke Lapan (2001-2005). Muzium tersebut yang bakal mengumpul, memelihara, menjalankan kajian dan menyebarkan pengetahuan mengenai kebudayaan dan warisan Melayu dan seterusnya menjadi gedung warisan budaya Melayu.

Namun, mengikut penerangan yang diberikan oleh seorang kurator di Muzium berkenaan melalui lawatan baru-baru ini, muzium tersebut telah dibatalkan pembinaannya. Pelan serta rangka muzium berkenaan yang tersergam indah di Muzium tersebut hanya tinggal kenangan. Mainan politik telah menyebabkan pembinaan muzium ini dibatalkan. Rumah-rumah contoh yang bersejarah terpaksa disimpan kembali ke dalam stor kerana ketiadaan tempat untuk menyimpannya.

Mengikut Prospek dalam Rancangan ini dibawah kebudayaan, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan seni dan budaya, pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan penyebaran maklumat mengenai kebudayaan. Jika sebab penangguhan pembinaannya atas sebab telah ada satu muzium didirikan di Putrajaya, alasan ini adalah amat tidak munasabah. Ini kerana, boleh dilihat pembinaan muzium yang gah itu tidak memaparkan ciri-ciri tradisional langsung. Jika dulu mengikut rangka atau pelan tindakan, sebelum pembinaan menunjukkan ciri-ciri tradisional dengan bumbungnya yang bercirikan rumah Minang. Tetapi jika dilihat sekarang, apa yang ada hanyalah satu muzium yang moden.

Bagaimanakah satu-satu muzium yang bermotifkan ingin mendidik manusia mengenai kebudayaan bangsa Malaysia akan berjaya jika hal seperti ini lebih diambil kira? Ini hanyalah akan memberi kesan kepada alam dan manusia itu sendiri. Tidak dinafikan pelbagai muzium telah wujud sepanjang masa ini, tetapi pembinaannya haruslah diteruskan kerana memberikan harapan yang cerah dalam mendidik masyarakat kita mengenai erti budaya dan seterusnya menghasilkan masyarakat yang menghargai kebudayaan sendiri lebih daripada kebudayaan lain.

Wednesday, September 5, 2007

Taklimat Bencana Banjir: Antara tinjauan awal

Daerah Kota Tinggi terletak di Pantai Timur Negeri Johor. 65% adalah dikelilingi oleh laut dan Kota Tinggi ini adalah terletaknya Lembangan Sg. Johor dan Lembangan Sg. Sedili. Komponen pencegahan banjir dan persediaan menghadapi bencana meliputi mengurangkan kesan banjir terhadap mangsa dan harta benda. Aktiviti-aktiviti utama pula seperti tugas menyelamat, penyediaan pusat-pusat pemindahan, makanan, rawatan perubatan dan lain-lain.

Kawasan utama berlaku adalah tertumpu di Bandar Kota Tinggi. Peristiwa banjir yang pernah dicatatkan adalah:
  • Disember 1948
  • Disember 1969
  • Disember 1979
  • Disember 1982
  • Disember 1983
  • Disember 1989
  • Disember 1991
  • Disember 2003
  • Januari 2004
  • Mac 2004
Bacaan Hujan pada Disember 2006 dan Januari 2007 boleh dilihat seperti dibawah:

Thursday, July 26, 2007

Tinjauan Awal Banjir di Kota Tinggi Yang Melibatkan Kampung Kelantan dan Kampung Tembioh

Menurut sejarah, Kota Tinggi telah mengalami banjir besar sebelumnya iaitu pada tahun 1948 (Lihat Gambar). Kemudian yang paling terkini ialah pada Disember 2006 dan susulannya pada Januari 2007 (Gambar Bawah). Difahamkan pada tiap-tiap tahun kampung Tembioh mengalami banjir tetapi kali ini merupakan yang paling teruk dialami penduduk kampung tersebut.

Seorang penduduk kampung memberitahu, banjir kali ini lebih kurang dalam 7 kaki di dalam rumah, tetapi kawasan ini adalah kawasan tinggi. Maksudnya, bagi rumah penduduk lain air mencapai paras 14 kaki yang menenggelamkan keseluruhan rumah tersebut.

Bagi menghadapi persediaan banjir, setiap daerah mempunyai jawatankuasa bencana. Jawatankuasa ini membuat persediaan awal kerana banjir berlaku setiap tahun, tetapi tidak menjangkakan banjir kali ini begitu besar dan berlaku dua kali.

Kedua-dua kampung ini iaitu kampung Kelantan dan kampung Tembioh terletak berhampiran dengan sungai. Ini menyebabkan risiko kehilangan harta benda dan rumah tinggi kerana arus sungai yang deras. Penduduk dipindahkan kepada sekolah-sekolah yang berhampiran sebagai pusat pemindahan banjir. Tetapi kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku iaitu banjir yang kedua telah menyebabkan sekolah tempat pusat pemindahan banjir itu sendiri dinaiki air. Ini memaksa penduduk tadi dipindahkan pula kepada pusat pemindahan banjir di kawasan lain.

Satu isu timbul iaitu isu pembahagian kasawan pentadbiran yang menyusahkan penduduk. Sepatutnya tiada isu pembahagian kawasan pentadbiran timbul berikutan keadaan yang memaksa penduduk berpindah ke kawasan pentadbiran orang lain dan juga isu ini langsung tidak munasabah melihatkan kawasan pentadbiran yang ditadbir datang dari parti yang sama. Walau bagaimanapun isu ini bukanlah melihat kepada isu parti tetapi melihatkan kepada masalah pembahagian kawasan pentadbiran yang menyusahkan penduduk yang terpaksa berpindah jauh dari kawasan mereka ke kawasan yang lebih tinggi untuk keselamatan.

Difahamkan ramai penduduk yang kehilangan rumah dan harta benda akibat banjir kali ini. Bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir juga adalah memuaskan dari segi barangan dapur atau wang ringgit. Pelbagai pihak samada dari kerajaan atau pihak-pihak tertentu yang membantu meringankan beban mangsa banjir sehinggakan barangan yang diperolehi melebihi daripada apa yang diperlukan.